Visi & Misi Tarbiyah Rasulullah saw
Allah swt berfirman :
"Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung." (QS Al-Qalam : 4)
Ayat ini menjadi panduan yang cukup bernilai bagi para pendakwah dalam mengharungi lautan perjuangan dakwah yang penuh onak dan duri.
Memang tidak mudah untuk menghayunkan langkah dakwah di mana sirah nabawiyah dan para sahabat mampu memberikan pelajaran yang bermakna bagi para pendakwah bahwa betapa pentingnya isi dakwah diwarnai oleh nilai-nilai akhlak yang tinggi dan agung sebagaimana Rasulullah saw dan para sahabatnya telah lama mencontohkannya kepada kita.
Dakwah baginda dan komuniti salafus soleh yang mengutamakan nilai-nilai akhlak itu ternyata telah menyumbang saham kejayaan yang besar dalam membangun asas penting arus perdana dakwah.
Allah swt menyatakan dalam Al-Quran tentang sifat-sifat khas dakwah yang beretika cara Nabi saw dan ini sekaligus sebagai jawaban yang terang kepada mereka yang masih ragu dan mempertikaikan terhadap kesucian peribadi Rasulullah saw.
Beberapa perkara penting perlu dicatat agar dakwah yang dipikul oleh para pendakwah akan mencapai kejayaan di mana mereka perlu membekalkan diri mereka dengan beberapa sikap dan mentaliti peribadi muslim yang kuat.
Di antaranya adalah seperti berikut :
PERTAMA : DAKWAH YANG MEMPUNYAI VISI UNTUK MENTARBIYAH. Secara tepatnya visi boleh dirumuskan dengan kata-kata :
"What are we becoming" (Apa yang kita impikan) Sifatnya boleh berbentuk seperti berikut :
1. Kualitatif. 2. Jangka panjang. 3. Cita-cita. 4. Sumber inspirasi. 5. Bersifat memayungi.
Visi pentarbiyahan pada masa Rasulullah saw secara ringkasnya bertujuan untuk mengangkat :
- Nilai Manusia.
- Martabat manusia.
Sistem perhambaan merupakan bentuk tatacara masyarakat Arab yang keras dan tidak berperikemanusiaan.
Hamba dianggap sebagai barang dagangan yang :
- Bebas untuk dijual beli.
- Bebas untuk dihukum.
- Bebas untuk dibunuh.
Bayi wanita dikubur hidup-hidup kerana dianggap akan mendatangkan malu dan aib bagi keluarga setelah ia remaja dan dewasa.
Bagi masyarakat orang miskin pula, anak laki-laki juga menjadi sasaran di mana mereka dibunuh kerana dianggap mendatangkan kemiskinan.
Manusia pada umumnya memuaskan hawa nafsunya secara berlebih-lebihan dan tanpa kawalan. Berlakunya perzinaan dan pemerkosaan yang sudah menjadi adat kebiasaan dalam masyarakat Arab jahiliyah. Minum arak menjadi candu masyarakat manakala judi dan wanita menjadi hiburan siang malam sehingga tergambarlah betapa rosaknya tatacara kehidupan masyarakat, rendahnya nilai dan martabat manusia.
Rasulullah saw diutus oleh Allah swt sebagai pendidik umat dengan visi untuk mengangkat nilai dan martabat manusia dari martabat yang rendah menuju manusia yang bernilai dan bermartabat tinggi serta memiliki akhlak yang mulia.
Sistem perhambaan dibenteras secara beransur-ansur di mana :
- Setiap orang bebas untuk beribadah dan berkarya.
- Diskriminasi terhadap kaum wanita juga dibenteras.
- Pembunuhan anak-anak perempuan dan laki-laki diharamkan bahkan dikenakan hukuman "qishas".
- Perzinaan, minum arak, perjudian dan perbuatan yang memperturutkan hawa nafsu yang lainnya dibenteras.
Inilah yang dikatakan dengan visi :
"Mengeluarkan manusia dari kezaliman kepada kehidupan yang terang benderang".
Bahkan dikatakan bahwa umat yang hidup pada zaman Rasulullah saw adalah masyarakat pilihan dan utama yang patut dijadikan contoh bagi generasi selepasnya.
KEDUA : DAKWAH MESTI BERMISIKAN TARBIYAH.
Berkaitan dengan misi, secara ringkasnya ia dapat difahami sebagai :
"What are we doing" (Apa yang mesti dilakukan) Misi pentarbiyahan dapat dilihat dari Firman Allah swt :
"Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka,yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka, yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dia-lah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."(QS Al-Jumu'ah : 2-3)
Di samping ayat di atas, ayat-ayat lain yang memiliki bacaan dan kandungan yang sama boleh didapati dalam surah Al-Baqarah : 129 dan surah Ali Imran: 164.
Bezanya, jika di dalam surah Al-Jumu'ah: 2 dan Ali Imran: 164, bacaannya merupakan pernyataan Ilahi yang bersifat informatif tentang diutuskannya Rasululah saw berkenaan dengan misi pentarbiyahan kepada umat.
Sedangkan dalam surahAl-Baqarah : 129, ianya berupa rakaman Al-Quran tentang doa Nabi Ibrahim as yang berharap diturunkanNya seorang Rasul, yang mengajarkan al-Kitab dan al-hikmah.
"Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau (al-Qur'an) dan hikmah serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana". (QS Al-Baqarah : 129)
Dalam perspektif sejarah, tema tentang diutusnya seorang Rasul yang mengajarkan ayat-ayat Allah swt dan hikmah ini, sebenarnya telah menjadi agenda pemikiran Nabi Ibrahim as.
Maknanya, beribu-ribu tahun sebelum kelahiran Rasulullah saw, sebenarnya Nabi Ibrahim as telah memikirkan dan berdoa kepada Allah swt akan perihal tersebut.
Betapa kehadiran Rasulullah bagi umat manusia juga menjadi tema-tema awal agama-agama besar di dunia, juga diramalkan dan ditunjukkan oleh kitab suci. Hal ini menunjukkan betapa misi-misi yang dibawa oleh Rasulullah saw begitu penting dan mustahak sifatnya bagi manusia dan alam semesta.
Bertitik tolak dari ayat tersebut, ada beberapa aspek penting yang perlu diperhatikan secara teliti sekaligus menjadi misi pentarbiyahan Rasulullah saw untuk umat :
1. Misi "tazkiyah al-nafs" (penyucian jiwa)
2. Misi "ta'lim al- ayat" (membacakan ayat-ayat atau tanda-tanda Allah).
3. Misi "ta'lim al-kitab wa al-hikmah" (mengajarkan al-kitab dan hikmah).
Dalam misi "tazkiyah al-nafs", mengandungi makna bahwa manusia pada hakikatnya lahir dalam keadaan suci sebagaimana yang disabdakan sendiri oleh Rasulullah saw tetapi, oleh kerana pergelutannya di dunia yang penuh cabaran ini, maka manusia menjadi tidak suci lagi.
Maka, misi tarbiyah Rasulullah saw adalah untuk mensucikan sifat-sifat jahiliyah manusia ketika itu untuk menjadi manusia yang memiliki hati yang suci serta tunduk dan patuh kepada peraturan-peraturan Ilahi.
Dalam misi "ta'lim al-ayat", ada dua perkara yang perlu difahami, iaitu ayat-ayat qauliyah (tekstual, yakni Al-Qur'an) dan ayat-ayat kauniyah.
Dengan membaca ayat-ayat kauniyah, diharapkan seseorang hamba akan mampu mengenal Allah swt dan dengan membaca ayat-ayat qauliyah, diharapkan seseorang hamba akan mendapat informasi tentang tatacara peribadatan yang benar.
Misi "ta'lim al-hikmah", terdapat sedikit perbezaan pendapat di antara ulama :
a. Ada pendapat yang menyatakan bahwa "al-hikmah" adalah Sunnah Rasulullah saw.
b. Ada pula yang mengatakan bahwa tugas Rasulullah saw mengajarkan "al-hikmah" adalah untuk mengembalikan fitrah manusia melalui latihan-latihan intelektual dan kerohanian yang dalam sesetengah kalangan menambahkan sebutannya dengan "hikmah al-`itiqadiah" yang tidak lain merupakan hasil `percantuman' antara latihan intelektual (melalui falsafah) dan pemurnian hati (melalui cara kesufian).
4 Misi pembinaan iman.
Rasulullah saw juga memiliki misi pembinaan iman. Perkara ini dapat dilihat dari dakwah beliau yang berusaha untuk mengembalikan kepercayaan umat manusia kepada ajaran agama Nabi Ibrahim as dan Nabi-Nabi sebelumnya, iaitu beriman kepada Allah swt dan tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu apapun.
5. Misi pembinaan akhlak.
Seterusnya Rasulullah saw melakukan usaha pembinaan akhlak. Perkara ini sesuai dengan sabda Rasulullah saw :
"Aku diutus di muka bumi untuk menyempurnakan akhlak.” (HR Ahmad)
Nabi Muhammad saw sebagai pembawa risalah, lahir membawakan risalah Allah swt yang menyempurnakan ajaran sebelumnya, serta membenteras kebatilan yang berlaku di dalam masyarakat.
Sebagai pewaris para Nabi sebelumnya, Nabi Muhammad saw dengan misi "menyempurnakan kemuliaan akhlak" sebagai misi agama baru dalam masyarakat, ajaran Nabi saw tidak terus diterima oleh masyarakat sehingga dalam mendakwahkan ajaran Islam, beliau sangat berhati-hati dan keutamaan diberikan kepada para sahabat dan keluarga terdekatnya terlebih dahulu kemudiannya kepada masyarakat umum.
Di sini dapat disimpulkan bahwa misi pentarbiyahan Rasulullah saw adalah untuk melakukan pembinaan iman dan akhlak yang mulia. Selain itu, misi yang dipikul oleh Rasulullah saw adalah juga termasuk membacakan ayat-ayat Qur'aniyah dan kauniyah, mengajarkan hikmah dan menyucikan hati manusia.
Dalam melihat peranannya, setiap pendakwah adalah sebenarnya seorang "murabbi" atau pendidik sejati :
1. Murabbi untuk peribadinya sendiri 2. Murabbi buat keluarganya 3. Murabbi bagi kaum kerabatnya 4. Murabbi untuk lingkungan sekitarnya
Seorang murabbi dituntut ke atas dirinya memiliki kesempurnaan dalam bersikap dan bersifat.
Oleh kerana itu, sebaiknya para murabbi dan aktivis dakwah tidak mengabaikan beberapa karakteristik penting yang perlu disempurnakan di dalam diri mereka dalam usaha untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat di sekelilingnya.
Karakteristik-karakteristik tersebut adalah seperti berikut :
1. Mengharap ridha Allah. 2. Jujur dan amanah. 3. Komitmen dalam ucapan dan tindakan. 4. Adil dan tidak bersikap zalim. 5. Berakhlak mulia. 6. Rendah hati. 7. Berani. 8. Mencipta suasana keakraban. 9. Sabar dan mengekang hawa nafsu. 10. Baik dalam tutur kata. 11. Tidak Ego.
Ya Allah, kami memahami bahwa hidayah itu adalah di "Tangan" Engkau dan kami hanya dituntut untuk melaksanakan visi dan misi sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw dan para sahabat baginda kerana sesungguhnya tidak ada dakwah dan seruan yang mampu mengubah jiwa dan hati nurani masyarakat melainkan yang bersandarkan kepada kekuatan akhlak yang mulia dan contoh tauladan yang terbaik.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
JK Tarbiah IKRAM Shah Alam
"Ukhuwah Teras Kegemilangan"
Tidak ada komentar:
Posting Komentar